Tuesday, September 9, 2008

Ajaib: Bayi lelaki teteknya bersusu...!!

GURUN: Pelik tapi benar. Seorang bayi lelaki berusia 27 hari di
Kampung Batu Lapan Jalan Gurun-Jeniang dekat sini, menjadi tumpuan
ramai sejak tiga hari lalu apabila putingnya mengeluarkan susu
seperti susu ibunya.

Ibunya, Mariam Ismail, 35, berkata bayi seberat 3.8 kilogram yang
dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani itu
bagaimanapun tidak mengalami sebarang gangguan kesihatan.

"Saya hanya dapat mengesannya tiga hari lalu ketika mengenakan barut.
Saya terpegang kedua-dua puting dadanya dan pada masa sama keluar
susu," katanya.

Dia berkata, peristiwa itu pertama kali berlaku terhadap anaknya
selepas mempunyai lima anak iaitu yang paling tua berusia 12 tahun.

Sementara itu, bapa bayi yang masih belum diberi nama itu, Azhar Ali,
32, berkata, ramai rakan menyifatkan kelahiran anak keenamnya itu
adalah satu rahmat.

"Bagi saya, semua anak saya bertuah. Mereka sebenarnya menggembirakan
saya dan keluarga. Ini pemberian Tuhan walaupun kejadian itu luar
biasa," katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Sejak tiga hari lalu, kira-kira 100 penduduk berhampiran berkunjung
ke rumahnya untuk melihat bayi berkenaan.

Bagi mengelakkan daripada susu itu keluar berterusan, Azhar bersama
isterinya lebih berhati-hati ketika menguruskan bayi mereka itu.

"Saya tidak tahu apa sebenarnya menyebabkan susu itu keluar,
bagaimanapun adalah lebih baik jika tidak keluar berterusan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Sultan Abdul Halim, Dr Haris
Fadzilah Che Hashim ketika dihubungi, berkata kemungkinan ketika bayi
itu dilahirkan hormon ibu bercampur dalam darahnya.

"Percampuran darah dan hormon antara ibu dan anak dipercayai punca
menyebabkan bayi berkenaan menghasilkan susu.

"Ini sesuatu yang jarang berlaku. Kita jangka ia tidak akan mengambil
tempoh yang panjang tapi jika susu itu masih keluar selepas seminggu,
pasangan itu dinasihatkan membuat rujukan ke hospital," katanya

0 comments:

Post a Comment